Powered By Blogger

Saturday, June 11, 2011

Kepercayaan kepada Allah-dalam ertikata yang sebenarnya

Kebanyakan manusia beriman tetapi tidak percaya, tidak percaya yang Allah itu maha pemberi, sebab itu kita lebih pasti rezeki dengan menghambakan orang lain walaupun kononnya dengan niat untuk menolong (pembiayaan jual beli), tidak percaya Allah itu maha adil, sebab itu dengan selambanya menghabiskan duit rakyat untuk kepentingan sendiri dan kroni, rasuah dan sebagainya. Sebab itu didalam Al-Quran apabila Allah SW menyeru manusia Allah menyebutnya "O people who beleive", iaitu wahai manusia yang percaya dan bukan manusia yang sembahyang, puasa dan sebagainya, kerana percaya itu sendiri amat penting. Lepas percaya dengan sepercayanya barulah rukun islam secara automatiknya akan dilakukan oleh manusia dengan ikhlas dan bukan kerana terpaksa.

Tetapi disebabkan Allah itu tidak kelihatan, maka amat sukar untuk manusia mempercayai Allah itu wujud walaupun Allah SW itu lebih hampir dari urat leher mereka sendiri. Sebab itu kafirun membuat patung berhala, kerana apa? kerana bila nampak tuhan baru percaya, sedangkan fizik kuantum telah membuktikan bahawa sesuatu yang tidak kelihatan itu (nukleus) punyai kuasa yang teramat hebat, jadi jika kita percayakan Allah dengan sepenuhnya maka mencipta sesuatu yang hebat dan mendapat bantuan Allah itu amatlah mudah. Sebab itu para Nabi mampu melakukan mukjizat kerana percaya mereka seratus-peratus dan sepanjang masa dan bukan manusia akhir zaman ini yang percayanya adalah bermusim sahaja.

Inilah sebenarnya janji Allah, semakin kita percaya kepada Allah, semakin hebat sebenarnya kehidupan kita, ambil contoh zaman kegemilangan islam dahulu yang hebat baik dari segi ekonomi hinggalah kepada tamadun ilmu, akan tetapi sedikit demi sedikit ianya lenyap hingga umat islam hari ini seolah-olah diratah oleh kafirun.

Thawban meriwayatkan, Nabi (SAW) bersabda: Orang-orang kafir akan memanggil satu sama lain untuk menyerang kamu sebagaimana orang yang makan menjemput orang lain untuk berkongsi hidangan. Seorang bertanya: Adakah itu kerana jumlah kami yang kecil? Baginda menjawab: Tidak, jumlah kamu banyak umpama sampah2 yg dihanyutkan oleh arus banjir, akan tetapi telah Allah hilangkan rasa takut dari dada orang kafir keatas kamu dan meletakkan "wahn" didada kamu. Seorang bertanya: Apakah itu "wahn". Baginda menjawab: Cintakan dunia dan takutkan mati. Abu Dawud Hadis 4284
Manusia cintakan dunia kerana apa? Kerana dunia inilah bagi mereka suatu yang nyata berbanding dengan syurga yang janji Allah yang tidak kelihatan. Maka dunia materialistik hari ini menjadi mantra kehidupan dan semuanya boleh dicapai dengan ekonomi berasaskan riba', pinjam dan bayar bulan-bulan menjadi hamba kepada bank hinggalah sampai keliang lahat pun hutang tak habis dibayar. Dan apabila cintakan dunia, manusia semakin sibuk dan tidak punya masa lagi untuk mendekati Allah apatah lagi mempercayai dengan sepenuhnya keesaan Allah itu.

Bagaimana Jika Syurga Dan Dunia Tempat Yang Sama.: Nota Dari Persidangan Riba'

Bagaimana Jika Syurga Dan Dunia Tempat Yang Sama.: Nota Dari Persidangan Riba'

Friday, June 10, 2011

Minda: Cara berkesan nasihat anak


Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

ANAK adalah anugerah Allah dan menjadi amanah besar kepada ibu bapa agar membesarkan mereka dalam kehidupan beragama dan berakhlak murni. Tersilap atau cuai dalam memberikan perhatian terhadap pendidikan akan mengundang padah buruk. Banyak contoh kini menggambarkan betapa longgarnya pegangan agama dan akhlak.

Antara pendekatan atau pedagogi terbaik dalam mendidik anak ialah dengan memberi nasihat. Ibu bapa seharusnya tidak bosan dan jemu memberikan nasihat bermanfaat dalam aspek kehidupan bersyariat serta berakhlak. Mungkin kisah berikut dapat menyedarkan kita betapa berkesannya kaedah nasihat untuk menyedarkan anak dalam urusan agama dan akhlak.


Shalih bin Amir menceritakan, pada suatu ketika terdapat seorang ibu yang mempunyai seorang anak yang sangat nakal. Dia sering bermain dan keluar pada waktu malam. Si anak yang nakal itu juga sering berkumpul bersama rakan di sekitar Kota Madinah. Melihat keadaan begitu, si ibu tidak bosan-bosan menasihati anaknya supaya menjadi anak yang baik.

Kata si ibu,“’Wahai anakku, ingatlah dan renungkanlah bencana yang menimpa orang sebelummu yang mereka sudah lupa diri, tidak sedar untuk kembali ke jalan lurus. Insaflah wahai anakku. Apakah akan terjadi jika dirimu terus-menerus seperti begini, menganggur dan keluar tanpa tujuan. Dirimu akan mati pada saatnya nanti. Perbaikilah kelakuan burukmu, wahai anakku.”

Begitulah tanpa rasa bosan di hati si ibu menasihati anaknya, namun belum menampakkan hasilnya. Kelakuan anaknya tetap tidak berubah.


Dilanjutkan kisah dikatakan pada Ramadan, datanglah seorang pendakwah dari Hijaz yang bernama Abu Amir al-Bannan. Dia dipelawa untuk menyampaikan ceramah di Masjid Rasulullah dan permintaan itu dipenuhinya. Pada malam Jumaat selepas solat tarawih, pengajian agama dimulakan.

Orang ramai mendengar isi ceramahnya dengan penuh khusyuk. Dalam ceramahnya, Abu Amir menggunakan pendekatan membawa khabar gembira dan ancaman. Dengan penuh gaya dan mimik muka yang ditunjukkan sangat menyentuh hati orang mengikuti pengajiannya. Apabila dia mengatakan mengenai syurga, raut wajahnya penuh gembira dan sebaliknya tatkala menceritakan keadaan di neraka, wajahnya kusut, muram dan seakan-akan gelisah.

Dalam kelompok orang ramai yang mengikuti ceramah yang disampaikan Abu Amir ialah anak wanita yang nakal tadi. Dia nampak terdiam apabila melihat dan mendengar isi kandungan ceramah Abu Amir. Dengan ekspresi muka Abu Amir dalam penceritaan mengenai neraka dan syurga itu rupa-rupa banyak menyedarkan anak nakal itu.

Sejak itu anak nakal itu mulai berubah dan sudah rajin menunaikan solat dan berkelakuan baik. Si ibu begitu bersyukur kerana anaknya mendapat hidayah Allah dan kembali ke jalan suci.

Apakah pengajaran kisah berkenaan kepada kita semua? Pertama, jangan cepat berputus asa dalam menasihati anak dalam aspek agama dan membina akhlak. Ibu bapa semestinya terus beristiqamah melakukannya demi menyelamatkan anak daripada terjerumus ke lembah hina yang dimurkai Allah. Kedua, ibu bapa seharusnya bersikap sabar dengan kerenah anak dan anggaplah fenomena demikian sebagai ujian Allah kepada kita.

Ketiga, dalam memberikan pengajaran berupa nasihat, kaedah penceritaan dan mimik muka yang sejajar dengan jalinan isi kandungan pengajaran akan memberikan impak positif kepada orang yang mendengar dan melihatnya. Keempat, ibu bapa seharusnya memberi penekanan dalam aspek pergaulan anak. Membiarkan anak lepas bebas tanpa nasihat dan kawalan akan mengakibatkan mereka dengan mudah terpengaruh anasir negatif.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Muawiyah bahawa Luqman al-Hakim pernah menasihati anaknya mengenai aspek pergaulan itu. Kata Luqman: “Wahai anakku, duduk bergaullah dengan orang yang soleh dalam kalangan hamba Allah kerana sesungguhnya engkau akan memperoleh satu kebajikan daripada kebaikan mereka dan mungkin sekali pada akhir majlis itu Allah akan melimpahkan rahmat-Nya ke atas mereka dan engkau juga akan turut mendapatnya bersama mereka. Wahai anakku, jangan engkau bergaul dengan orang jahat, kerana sesungguhnya engkau tidak akan memperoleh sebarang kebaikan dalam pergaulan dengan mereka itu. Bahkan, mungkin pada akhir pertemuan itu, Allah akan menimpakan balasan kemurkaan-Nya ke atas mereka dan engkau juga akan turut terkena bahananya bersama mereka.”

Dalam satu lagi nasihat Luqman kepada anaknya mengenai perihal perilaku pergaulan ialah yang katanya: “Duduk bergaullah bersama golongan yang menyebut nama Allah, kerana jika engkau seorang yang berilmu, maka ilmu itu akan memberikan manfaat kepadamu dan jika engkau seorang jahil, mereka akan mengajarmu. Bahkan, sekiranya rahmat atau rezeki dilimpahkan ke atas mereka, pastinya engkau juga akan berkongsi bersama mereka.”

Ini nasihat cukup baik dan boleh ibu bapa jadikan sebagai teladan. Dalam mendidik anak, elemen nasihat juga seharusnya diketengahkan sebagai salah usaha teras pendidikan di rumah.

Pendidikan agama dan akhlak yang berhemah serta penuh suasana kondusif pasti mendatangkan natijah positif ke atas pembentukan jiwa dan akhlak anak. Untuk mendidik dan mengajar anak agar istiqamah di atas jalan yang benar dan lurus tidak bermakna kita mesti menggunakan kaedah keras seperti merotan, sebaliknya ibu bapa sewajarnya memberikan dorongan dalaman dengan mantap.

Dengan pendekatan pemberian pemahaman yang tetap secara berterusan, pengajaran dan peringatan serta nasihat akan mengukuhkan jati diri jiwa anak sebagai mukmin yang soleh.

Justeru, pendakwah dan pendidik khususnya perlulah melihat kepada keberkesanan metodologi pengajarannya agar pendengar tidak bosan, sebaliknya terpaut dengan proses penyampaian. Demikianlah halnya dalam aspek mendidik anak kita supaya sentiasa membesar dan berkembang subur di atas landasan agama yang luhur.

Luangkan masa untuk renung hubungan dengan Pencipta-SIM

Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

MANUSIA sebenarnya sentiasa berfikir. Setiap hari sewaktu bekerja kita berfikir mengenai pekerjaan dan bagaimana cara untuk meningkatkan prestasi kerja.

Kita juga berfikir mengenai cara mengatasi masalah yang dihadapi. Akhirnya kita akan berfikir mengenai cara menghasilkan prestasi terbaik.


Begitulah keadaan akal kita yang tidak pernah berhenti daripada berfikir. Bagaimanapun, kita akan berfikir dengan lebih serius apabila berhadapan dengan masalah, misalnya ketika ditimpa musibah, kesempitan wang, sakit atau menghadapi kegagalan.

Kita berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Lebih berat masalah yang kita hadapi, lebih besar usaha berfikir yang dilakukan. Dalam banyak waktu kita habiskan untuk berfikir pernahkah ada dalam fikiran kita mengenai hubungan kita dengan Pencipta?


Bagaimana prestasi iman kita? Bagaimana jalan hidup yang sudah dan sedang serta yang akan kita lalui, adakah mengikut kehendak kita atau kehendak Pencipta?

Pernahkah kita berfikir untuk `menyemak’ semula batin kita? Adakah di dalamnya jernih laksana titisan embun atau lakaran hitam yang kelabu dan berdebu dengan dosa?

Bagaimana solat kita, puasa, anak-anak, suami atau isteri kita sudahkah jelas kefahaman mereka sebagai hamba Allah? Sudahkah matlamat kita selari dengan kehendak Pencipta?

Sudah layakkah kita memegang gelaran ‘khalifah Allah’ yang mempunyai tugas besar sebagai ejen perubahan dalam masyarakat? Kata orang kalau banyak sangat tanya dikatakan banyak ‘songeh’.

Semua soalan yang dilontarkan sebenarnya saya hendak kongsi mengenai kepentingan berfikir.

Dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

Betapa mahalnya nilai berfikir dan kesan yang diperoleh jika betul cara berfikir kita, berbanding ibadat begitu saja. Berfikir sebenarnya adalah proses menyimpan, mengingat, menganalisis dan menyimpulkan berbagai-bagai maklumat yang ada di dalam dan luar diri kita sehingga menjadi idea dan akhirnya mendorong kita untuk bertindak.

Fikiranlah yang mengarahkan ke mana kita akan pergi dan bagaimana kita akan buat kerana dalam fikiran itu, seluruh keputusan, perencanaan serta konsep hidup ditentukan.

Malah, dengan pemikiran jugalah menjadi penentu dekatnya kita dengan Allah.

Satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Ketahuilah wahai Anas sesungguhnya orang yang bodoh itu lebih banyak tertimpa musibah kerana kebodohannya daripada orang jahat yang berakal.

Sesungguhnya amat mudah seorang hamba mendekati Tuhannya dengan akalnya. Kata Napolean Hill: “If a man is right, his world will be right.”

Jadi, dalam kesibukan kita mencari kebahagiaan dunia, jangan lupa memberikan waktu untuk berfikir. Bahagikan masa kita kepada empat waktu iaitu:


Waktu untuk bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah.
Waktu untuk bermuhasabah mengenai dirinya.
Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah.
Waktu untuk menumpukan kepada keperluan seperti mencari makanan dan minum.

Ciri-ciri Gadis Muslimah dan Berakhlak Mulia





  1.  Solat tepat waktu
  2. Banyak amalan sunat dan bibir basah dengan zikir.
  3. Butir bicaranya terselit dengan kalimah seperti bismillah, alhamdulillah, insyaALLAH, subhanallah, Allahuakhbar dan lain-lain zikir.
  4. Tidak mengeluh dengan masalah remeh kehidupan hariannya.
  5. Bercakap dengan rendah suara.
  6. Lembut dan halus tingkahlakunya.
  7. Tuturbicara yang senang didengar tanpa kata lucah atau sumpah seranah.
  8. Pakaian longgar tanpa mendedahkan bentuk tubuh.
  9. Rambut, leher dada yang sentiasa ditutup dan dijaga dari pandangan lelaki bukan muhrim dan mereka bukan Islam.
  10. Sukakan kanak-kanak dan kanak-kanak menyukainya.
  11. Pandai mengambil hati orang tua.
  12. Menghormati dan taat ibubapa.
  13. Kesayangan keluarga dan tetangga.
  14. Contoh kepada adik-adik dan mencontohi orang tua.
  15. Berkuku pendek sentiasa bagi menyempurnakan wudhu.
  16. Rambut tak diwarnakan.
  17. Banyak dan murah dengan senyuman.
  18. Banyak mendengar dari bercakap.
  19. Senyuman adalah ketawanya.
  20. Tidak ketawa terbahak-bahak.
  21. Suaranya tidak lantang dan jarang didengari oleh lelaki bukan muhrim.
  22. Tidak suka bersiar-siar atau keluar rumah tanpa urusan penting bagi mengelakkan fitnah.
  23. Menjauhi kumpulan yang sedang mengumpat dan mengeji supaya tidak dikira bersubahat.
  24. Tidak menghebohkan kedukaan hatinya dan menyembunyikan kesedihannya.
  25. Menerima dugaan sebagai ujian ALLAH dan kafarah dosanya.
  26. Sentiasa berdoa baik untuk keluarga, orang lain dan juga untuk orang yang menganiayanya.
  27. Pandai bergaul dengan semua orang tanpa mengira tahap pendidikan dan taraf.
  28. Tidak boros dalam berbelanja dan pandai menguruskan kewangannya.
  29. Berhati-hati dengan apa yang dimakannya dan menjauhi makanan syubhah.
  30. Sayangkan dan kasihan binatang peliharaan seperti kucing, arnab, burung, ikan dan lain-lain.
  31. Suka kepada alam sekitar, suka berkebun dan bunga.
  32. Menitik-beratkan aurat yang dianggap remeh seperti tumit kaki, kaki, siku dan lengan. Caranya dengan memakai sarung tangan dan sarung kaki