Powered By Blogger

Tuesday, March 29, 2011

10 Cara Untuk Peroleh Jiwa Yang Tenang

Bismillahirrah manirrahim.
hari ini saya ingin berkongsi tips 10 cara untuk dapatkan ketenangan jiwa - oleh Ustaz Mohd Zawawi Yusoh
Saya dapati sekarang ini ramai sekali orang disekeliling saya nampak begitu tertekan dengan bermacam-macam hal. Ada yang menghadapi masalah cinta, masalah kerja, masalah rumahtangga, masalah pakwe makwe, masalah ekonomi dan sebagainya.


Ramai yang meminta pelbagai nasihat dan pandangan untuk menyelesaikan masalah mereka.


Paling memeranjatkan ialah, ada diantara mereka yang menyatakan bahawa mereka begitu tertekan dengan masalah hidup hingga terfikir sampai mahu membunuh diri. Na’uzubillah.


Lihatlah betapa seriusnya keadaan masyarakat sekarang ini!



 Ketahuilah bahawa, agama kita, ISLAM ada memberikan ubat dan penawar dalam merawat ketenangan. Berikut adalah perkara-perkara atau langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa.
  • 1.  Membaca dan mendengarkan al-Quran


Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah. Dia mengeluh:


“Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.”


Ibnu Mas’ud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.
  • Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.
  • Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.
  • Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu.


Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali.


Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah itu.





  • 2.  Menyayangi orang miskin


Rasulullah memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin.


Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang yang dermawan:


“Setiap pagi hari dua malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan doa: Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang berinfak. Dan malaikat yang kedua pun berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kikir itu kebinasaan.”


Daripada hadis berkenaan dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan itu akan memperoleh dua balasan.
  • Pertama, dia mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain.
  • Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah.



  • 3.  Melihat orang yang di bawah, jangan lihat ke atas


Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah meskipun tampak sedikit.


Rasa syukur itu akan muncul apabila kita senantiasa melihat orang yang keadaannya lebih rendah daripada kita, baik dalam hal kebendaan, kesihatan, rupa, pekerjaan dan pemikiran.


Betapa banyak di dunia ini orang yang kurang beruntung. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga ganjaran daripada Allah.
  • 4.  Menjaga silaturahim


Manusia adalah makhluk yang perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan manusia lain. Pelbagai keperluan hidup takkan mungkin boleh diraih tanpa adanya bantuan daripada orang lain.


Dalam hadis Rasulullah diperintahkan untuk tetap menjalin silaturahim sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan kepada kita.


Rasulullah bersabda bahawa silaturahim dapat memanjangkan umur dan mendatangkan rezeki.


Hubungan yang baik di dalam keluarga, mahupun dengan tetangga akan menciptakan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan meleraikan sifat dengki, buruk sangka, iri hati, besar diri dan sebagainya.
  • 5.  Banyak mengucapkan “La hawla wa la quwwata illa billah


Sumber ketenangan jiwa yang hakiki bersumber daripada Allah. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghadirkan Allah dalam segala keadaan, baik dalam keadaan senang ataupun susah.


Kuatnya hubungan kita dengan Allah akan membuatkan jiwa seseorang itu menjadi kuat, tidak mudah goyah. Apabila kita lalai mengingati Allah, maka ia membuka peluang bagi syaitan mempengaruhi fikiran kita.





  • 6.  Mengatakan yang haq (benar) sekalipun pahit


Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangkan.


Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan tercapai apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran.


Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang yang kerap melakukan maksiat dalam hidupnya, mereka akan berasa gelisah walaupun nampak senang dan ceria.
  • 7.  Tidak ambil peduli terhadap celaan orang lain asalkan yang kita lakukan benar kerana Allah


Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengikuti penilaian orang terhadap dirinya.


Seorang akan memiliki pendirian kuat jika berpegang kepada prinsip yang datang daripada Allah.
  • 8.  Tidak meminta kepada orang lain


“Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah” adalah hadis Rasulullah yang merangsang setiap mukmin untuk hidup berdikari.
Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain kerana orang yang berdikari jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan.


Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah.
  • 9.  Menjauhi hutang

Dalam sebuah hadis, Rasulullah dengan tegas mengatakan:

“Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasai ketenangan!”

Sahabat bertanya: “Bagaimana boleh terjadi seperti itu!”


Sabdanya: “Kerana hutang.”

Begitulah kenyataannya. Orang yang berhutang akan senantiasa dihantui ketakutan kerana dia dikejar-kejar untuk segera membayarnya.

Inilah salah satu faktor yang membuat ramai orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah juga mengatakan:

“Hendaklah kamu jauhi hutang kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari.”
 
  • 10.  Selalu berfikir positif

Mengapa seseorang mudah berasa tertekan? Salah satu faktornya kerana dia selalu dibayangi fikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri.




Padahal, kita diberikan Allah pelbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah ungkapan keluh kesah yang membuat muka berkerut, badan lemas, ubahlah dengan ungkapan senang.

Bukankah di sebalik kesulitan dan kegagalan itu ada hikmah yang boleh jadi pengajaran?

Sumber Rujukan : Tulisan Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

Saya harap artikel ini sikit sebanyak memberikan panduan kepada mereka-mereka yang bermasalah dalam mencari ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup, insyaAllah.

 

Saturday, March 26, 2011

Muhasabah Diri

Dalam kesibukan saya meniti hari demi hari, melayani kerenah anak anak dan suami, tak terasa hari berlalu begitu cepat. kadang kala saya tak sempat pun untuk melayani diri sendiri, kerja kerja penulisan yang dirancang tak pernah pun selesai. Sedar sedar, hari sudah malam. Bila malam menjelma, kudrat saya untuk terus melaksanakan kerja kerja yang sepatutnya dibuat bagai dirancang, secara automatisnya telah luntur.

Memang saya adalah morning person. Tak gagah mata saya untuk terus berjaga dikala jam telah menunjukkan pukul 10 malam. Apabila keesokan paginya, bila bangkit dari pembaringan, serasa penyesalan datang bertandang, disebabkan kerja kerja semalam tertangguh, mahu tak mahu saya harus menyelesaikannya jua. dan begitulah hari hari berikutnya berputar...timbullah persoalan dibenak, sampai bilakah aku harus begini?adakah aku seorang muslimah yang produktif kepada agamanya?apakah aku telah berjaya mendidik anak anakku sebagaimana sepatutnya?

 Sewaktu mengharungi jalan yang sentiasa sesak di waktu puncak, ketika dalam perjalanan menuju ke perpustakaan negara,  otak ligat berfikir. Bagaimanakah aku hendak menghabiskan buku buku yang bakal kupinjam nanti. Berbaloikah aku mengharungi jalan yang sesak begini semata mata hendakkan buku bacaan dirumah walhasilnya akan tersadai seperti minggu minggu sudah dimana aku tetap gagal dalam menelaahnya sehingga habis. Terlintas di akal fikirku bahawa selama ini adakah masa yang aku yang tiada berkatnya? Mungkin ya.

Saya harus muhasabah diri semula. Kena buat check and balance, mencari di mana kekurangan diri yang harus diperbaiki. Dan setibanya di sana, sistem komputer di lib rupanya tengah down dan tidak mengizinkan sebarang pinjaman dilakukan. Allah Maha Mengetahui sebenarnya. Dialah sebaik baik perancang. dengan ketiadaan buku buku yang biasanya menyemakkan katil dan meja study, saya harus menggunakan sebaik baiknya masa untuk menjalankan kerja-kerja penulisan yang sekian banyak tertangguh. Seterusnya memberi saya idea untuk menyediakan senarai judul buku yang berkualiti bakal menjadi pencarian saya untuk di pinjam kelak. Dengan ini saya lebih bersedia dan tidak terambil buku-buku yang tak berapa best yang mana akhirnya tak habis pun dibaca...:-P 

Thursday, March 10, 2011

PENGHIJRAHANKU


Saya mula berhijrah. Membuat perubahan demi memenuhi tuntutan Illahi, yang menghendaki setiap insan dimuka bumi ini taat padaNya. Saya tidak terkecuali. Setiap saat saya sentiasa berfikir, bilalah aku hendak menjadi muslimah yang sebenarnya. Namun perancangan Nya lebih teratur. Tepat tanggal 1 Muharram 1432 tahun hijrah, saya mula mengenakan tudung yang menepati syariat Islam yang sebenar.  Alhamdullillah, saya berjaya menyempurnakan hasrat saya yang sekian lama terpendam namun tidak terzahir. Tiada paksaan dari mana mana pihak. Cuma ingin menjaga diri dan mengingati diri saya sendiri agar tidak terjerumus lagi dengan bersikap mazmummah yang sering membeliti diri seseorang muslim. Sebaliknya mengganti dengan sifat sifat mahmudah yang ditakuti syaitan.

Pendidikan Islam saya tidaklah hebat. Setakat biasa biasa sahaja dan masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Saya banyak mendengar kuliah kuliah agama dari Ustaz Azhar Idrus melalui mp3. Dari situ saya dapat belajar serba sedikit tentang ilmu fardu ain. Di waktu lapang, buku buku agama selalu menjadi bahan untuk ditelaah. Dan juga dari situlah saya mula menginginkan perubahan pada diri, tentang tujuan hidup kita diciptakan. Merindui bayangan syurga dan hati mula gentar bila mengingatkan neraka Nya. Air mata ini mudah sangat bergenang apabila mengingatkan Allah swt. Mengingatkan dosa dosa lampau, lagha yang sengaja diciptakan.
Alhamdulillah ya Allah, kerana Dikau tidak mencabut nyawaku disaat aku masih alpa dengan nikmatMu di dunia fana ini. Engkau masih berikan aku peluang untuk aku bertaubat,sebenar benarnya taubat nasuha…

Thursday, February 24, 2011

Tuan Guru Nik Aziz VS Tun Mahadhir

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Al-Hujuraat 49:6)

Jawapan  Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk Tun Mahathir 
Posted on  Friday, February 04 @ 03:26:24 PST 
Dilulus untuk paparan oleh  SongkokPutih




Respon
Oleh  Tuan Guru Nik Abdul  Aziz 

[IMAGE]Saya gembira apabila Tun Dr.  Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi  saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah.  Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah  dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya  semata-mata. 

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja,  tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di  mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT  satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang  dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang  keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh  malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang  kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.

Firman Allah SWT :   


يَوْمَتَشْهَدُعَلَيْهِمْأَلْسِنَتُهُمْوَأَيْدِيهِمْوَأَرْجُلُهُمبِمَاكَانُوايَعْمَلُونَ 
Yang bermaksud : Pada hari  (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa  yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24 

Hakikatnya saya  sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO.  Saya diajak untuk turut sama  mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di  seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan  Yew. 

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam  tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah  dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata  dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di  muka bumi. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga  hal ehwal agama. 

Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah  tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini  dari bibir mereka. 

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan  diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT  siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. 

Firman Allah SWT  : 

الَّذِيخَلَقَالْمَوْتَوَالْحَيَاةَلِيَبْلُوَكُمْأَيُّكُمْأَحْسَنُعَمَلًاوَهُوَالْعَزِيزُالْغَفُورُ 
Yang bermaksud : Dia lah yang  telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan  keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan  Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang  bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2) 

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi  kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang  beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi  saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika  syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.  Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah  manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar  perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu  amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan  mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO  menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta  al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik  peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan  soleh? 

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca  pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO  diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali  sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun  1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai  Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit  Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu. 

Suka saya  jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti  berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman  : 

وَقُلْنَااهْبِطُوابَعْضُكُمْلِبَعْضٍعَدُوٌّوَلَكُمْفِيالأَرْضِمُسْتَقَرٌّوَمَتَاعٌإِلَىحِينٍ 

Yang bermaksud : “..dan  Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada  sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi,  serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah,  ayat 36) 

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran  lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah  dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah  SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang  mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar  melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya  : 

فرقتبهجماعتهم! 

Yang bermaksud : Dengan  agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka! 

Adakah  benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah  natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah  SAW. 

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat  cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang  menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN  PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham  Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik   lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh  Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh  bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar  Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan  perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini  masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api  permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk  memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan  dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO. 

Di zaman Tun Mahathir,  siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun  2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya  orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang  bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali  bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa  sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah  yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang  kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir? 

Hari ini,  UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan  kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan  tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan  Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor.  Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina?  Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan  Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam  jauh sekali! 
Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa  iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran  tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan  rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak  beriman dengan yakin kepada Allah SWT. Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO  berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman  Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.  Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina  sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika  Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis  rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara  besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan  nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir,  sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam.  Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan? 

Akhir kata, saya akui Tun  Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan  untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah  sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah  SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan  sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima  Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهمقدبلغت(Ya Allah, aku telah  menyampaikan..) 

Sekian. 

HAJI NIK ABDUL  AZIZ BIN NIK MAT 
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu. 
 

Tuesday, February 22, 2011

Menulis dengan iman

Cita cita saya semenjak kecil ingin menjadi seorang penulis. Di dorong oleh kegemaran saya yang memang suka membaca. Amat mengagumi penulis-penulis yang telah menghasilkan karya bermutu hingga mendorong saya untuk sama berkarya.

Kesibukan belajar,bekerja dan seterusnya menguruskan anak-anak setelah mendirikan rumahtangga, menjadikan impian tinggal impian. Sehinggalah saya mula berjinak jinak dengan dunia maya, dan pada masa yang sama sudah menyandang jawatan baru iaitu surirumah sepenuh masa, keinginan mula menyala nyala.Namun, buat masa ini, faktor masa telah membataskan saya untuk menulis lantaran mengelolakan anak kecil saya yang baru masuk 6 bulan. Ini pun mencuri curi masa untuk update blog.

Sekian dulu buat masa ini kerana tujuan saya menulis adalah kerana iman. Dan tulisan ini semata mata kerana Allah swt. Apa yang bakal saya nukilkan selepas ini adalah untuk dakwah,kepada diri saya sendiri, keluarga saya dan masyarakat diluar sana.
 

Monday, February 21, 2011

alhamdulillah

Barangsiapa yang tidak dimuliakan oleh taqwa, maka tidak ada kemuliaan baginya.

Perhiasan ulama' itu adalah taqwa; dan kecantikkannya adalah murah hati.

 Tidaklah berjaya dalam menuntut ilmu, melainkan orang yang menuntutnya dalam kekurangan.

  Tidak ada aib yang lebih buruk bagi ulama' selain dari kesukaan mereka terhadap apa-apa yang tidak disukai Allah buat mereka, dan ketidak sukaan mereka terhadap apa-apa yang disukai Allah buat mereka.
 

 Ilmu itu bukan yang dihafal, tetapi yang memberi manfaat.
 

Disini saya ingin berkongsi sedikit tentang apa tujuan kita dilahirkan ke muka bumi ini. Diantara berjuta sel,kita yang terpilih. Mengapa?